Bengkel Alatan dan Keselamatan Makmal bagi Projek Penyelidikan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi

Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) telah menganjurkan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Alatan dan Keselamatan Makmal bagi para pelajar yang mengambil subjek Projek Penyelidikan II. Subjek ini adalah wajib diambil oleh semua pelajar FBKT di mana para pelajar akan menjalankan sendiri penyelidikan mereka berdasarkan cadangan projek penyelidikan yang telah dibentangkan pada semester lepas.  Projek ini dijalankan oleh setiap pelajar melalui bimbingan seorang penyelia di kalangan pensyarah FBKT. Maka, bengkel ini diadakan bagi memastikan semua pelajar dapat memahami kegunaan alatan di makmal dan langkah-langkah keselamatan yang penting semasa menggunakan alatan ini ketikan menjalankan projek penyelidikan masing-masing.

Bengkel ini telah diadakan pada hari Rabu, 8 Disember 2021 di beberapa buah makmal FBKT iaitu Makmal Sains Bahan, Makmal Teknologi Mikrobiologi serta Makmal BAP. Seramai lima orang pensyarah telah dijemput sebagai penceramah dan pengajar sepanjang bengkel ini berlangsung sambal dibantu oleh empat orang pembantu makmal bagi melancarkan lagi perjalanan bengkel. Antara alatan yang diberi penekanan semasa bengkel ini adalah oven, autoclave, kebuk wasap, kabinet biokeselamatan, kabinet aliran laminar serta alatan umum seperti alat pemadam api dan lain-lain perkara. Ceramah tentang pengurusan bahan kimia turut diadakan secara atas talian pada 7 Disember 2021. Para pelajar telah dibahagi kepada beberapa kumpulan dan bergerak ke setiap satu alatan mengikut jadual yang telah ditetapkan bersama kumpulan masing-masing. Seorang pensyarah telah ditugaskan di setiap alatan bagi memberi penerangan kepada pelajar berkenaan alatan tersebut. Di akhir bengkel, setiap pelajar yang hadir akan diberikan sijil penyertaan.

Dr. Nurul Akmar Che Zaudin